Tuesday, September 14, 2010

Review (Ulasan) Liga Pendekar oleh Fadli Al- Akiti

Salam Idulfitri kepada semua...raya sebulan...

ya..petikan ini agak lama bertarikh 27 April 2009. dari blog Saudara Fadli Al Akiti.
terima kaseh atas ulasan anda. Ulasan dan feedback begini menjadi perangsang untuk saya bekarya dalam usaha mempertengahkan komik berjatikan Melayu.

link petikan di sini: klik

Ini Ulasan beliau:


Tajuk: Liga Pendekar: Perikatan Adiwira
Oleh: Azhar Abdullah
Terbitan: PTS
Tahun: 2008

Sinopsis:
Kekayaan dan kemakmuran Kesultanan Melayu Melaka menjadi sasaran pelbagai musuh yang dengki, tamak dan iri hati. Lantas Sultan Melaka menjadi mangsa perbuatan keji. Satu pasukan pendekar dibentuk bagi membenteras kekusutan dan kekalutan ini. Ketumbukan ini digelar Liga Pendekar.


Rasa:
Antara komik yang saya beli waktu Pesta Buku KL baru-baru ini. Selepas selesai membacanya, saya mendapat tahu bahawa komik ini memenangi banyak anugerah pada majlis Anugerah PEKOMIK yang julung-julung diadakan di PWTC. Kawan saya (serumah) yang membeleknya memaklumkan kepada saya bahawa alur garis dan lukisan dalam komik ini "tebal" dan "kasar". Saya hanya boleh ketawa.

Kawan saya tidak sedar, sememangnya Azhar ingin membentuk satu "komik" yang berlainan dengan komik-komik yang boleh dicop sebagai Amerika, Britain, Jepun ataupun Hong Kong, tetapi Malaysia! Ini adalah kerana, jika tidak silap saya, melihat pada lakaran dan bentuk alur liuk coretan pensel dan dakwat Azhar, komik ini ingin mengembalikan semangat komik-komik Melayu lama (tidak silap saya, sebelum/selepas merdeka, oleh seorang pelukis kartun/komik bernama Hamzah(?). Hal ini ada dinyatakan dalam biografi karikatur Sudirman dalam URTV dulu-dulu serta pernah dinyatakan oleh Lat yang menyukai komik bentuk hikayat ini zaman dulu). Bentuk garisan dan lentur coret komik ini sememangnya berlainan dengan Manga serta Marvel yang kita tahu sekarang, ia lebih menyerupai lakaran komik yang dibikin oleh pelukis Indonesia zaman dahulu (lihat Jaka Sembung) di mana bentuk figuratifnya kadang-kala mengikut kehendak alur pen dakwat tulisan jawi (punya ketebalan-nipis yang berbeza dengan komik kotemporari seperti Matlob atau kartun-kartun biasa selepas merdeka termasuk Lat). Kalau di Indonesia, bentuk-bentuk wajah wataknya lebih "eurasia" (lihat buku-buku lama tentang adab dalam Islam atau buku Marilah Sembahyang), dan saya mendapati figuratif pelukis di Malaysia lebih "tempatan" hasilnya.

Hal ini ternampak dalam alur dan gaya Azhar Abdullah dalam komiknya yang "mencari" unsur "Malaysia" atau "tempatan". Malah, dalam lukisan-lukisan awal komik ini, secara sengaja atau tidak, kita lihat kedudukan watak dalam kotak halaman seakan kaku dan satu dimensi tanpa banyak bermain dengan ton. Hal ini sama dengan bentuk komik-komik perwira yang biasa kita baca di ruang akhbar pada 70 - 80-an. Dan Azhar berani mengambil risiko ini.

Saya sangat-sangat menggemari cerita dan plot yang disampaikan Azhar. Bagaimana tidak tercuitnya saya apabila lakaran gelap Kelembai serta Orang Minyak di"kelabu"kan oleh Azhar, atau bagaimana motif Hang Tuah tidak mahu berjuang, dan pelbagai persoalan lagi yang sangat menarik perhatian mereka yang tahu dan mengenali hikayat lama Malaysia (Azhar membantu dengan memberi penjelasan biodata pendek di akhir komik buat setiap adiwira penting). Malah, pada Konvensyen Sai Fai minggu lepas, ada seorang individu mencabar pihak penulis sai fai agar mencipta satu karya berpropoganda atau mengembalikan semangat yang tersimpan dalam hikayat dengan teknik inter teksual, saya berani mencampak komik ini kepada beliau sebagai satu contoh yang sangat baik dan bermaruah.

Apa yang saya kira "genius" tentang Azhar adalah, beliau "menyimpan" banyak ruang dan sejarah untuk dikembangkan tentang watak-watak dalam komik ini (watak misteri Kebayan dan perhubungannya dengan Hang Tuah sebagai contoh terbaik, dan ketidakmahuan Hang Tuah untuk berjuang buat Sultan Melaka sangat mengujakan) tanpa menggadaikan masa dan logika untuk pembaca bergerak dengan cerita di dalam komik ini. Saya juga sangat menunggu dengan debar tentang apa akan berlaku selepas ini, oleh sebab komik ini mengambil latar zaman Sultan Melaka yang terakhir. Hal ini tentu menarik untuk diperkambangkan oleh Azhar. Sememangnya saya menunggu dengan berdebar agar komik ini diteruskan, dan bukan menjadi "one hit wonder" kerana sememangnya hasil Azhar Abdullah ini sangat boleh dibanggakan penceritaannya dan semangat baharunya untuk masa depan komik Malaysia.

kenapa saya menaikkan semula ulasan ini di blog saya? bukan untuk bermegah atau sebagainya..
kerana saya akan bermula untuk proses menghasilkan Liga Pendekar#2..InsyAllah..
sebagai pengkarya penglipur lara komik secara sambilan...
saya akan usahakan karya baru LP di hasilkan dalam masa 6 bulan. cuba untuk rancang LP#2 siap dan berada di pasaran pada Mei 2011.
back to back seterusnya LP#3..

InsyAllah.

2 comments:

shazet said...

I support you for PL#2 and beyond that.

Mohd Kamil said...

walaupun Hang Tuah hebat tapi dia ni taat membabi buta pada sultan hingga sanggup bunuh Hang Jebat semata-mata nk mempertahankan sultan drpd dibunuh.